LAMAN INI DALAM PROSES

MAAF LAMAN INI MASIH DITUTP KERANA DALAM PROSES PEMBAIKPULIHAN..

Gajah liar musnahkan 18,000 pokok kelapa sawit

GUA MUSANG 4 April – Sebuah syarikat yang menjalankan kerja kontrak menanam kelapa sawit di ladang dekat Pos Blau di sini, kerugian teruk apabila 18,000 pokok kelapa sawit berusia setahun di kawasan 600 hektar dimusnahkan sekumpulan gajah liar sejak sebulan lepas.

Keadaan itu menyebabkan Syarikat Pembangunan Ladang Khazanah Nadi Alam Enterprise menanggung kerugian hampir RM500,000, kata pengurus syarikat itu, Mohd. Khazanah Ab. Rahman.

Selain kelapa sawit, tanaman pisang yang diusahakan secara sampingan di kawasan berkenaan turut dimusnahkan gajah terbabit, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd. Khazanah berkata, kira-kira 60 pekerja ladang itu terpaksa membakar tayar buruk setiap malam bagi menghalau gajah berkenaan namun langkah itu tidak mampu menghalang serangan gajah liar itu.

Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil langkah segera untuk menangkap gajah terbabit. - Bernama

Tun Dr. Mahathir kunjungi Najib di Putrajaya

PUTRAJAYA 4 April - Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali tiba di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sri Satria di sini pada pukul 10 pagi ini.

Mereka dipercayai akan menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula UMNO manakala pengumuman mengenai perkara itu dijangka dibuat sebentar lagi.

Dr. Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO dalam satu ceramah di Alor Star pada 19 Mei tahun lalu tahun atas alasan hilang kepercayaan terhadap parti itu. - Utusan

Gagasan Najib


TUANKU Mizan Zainal Abidin bersalaman dengan Najib Tun Razak selepas Seri Paduka mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, semalam. – BERNAMA


Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.

Saya mengajak seluruh warga sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita.

Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional

Najib angkat sumpah PM ke-6

KUALA LUMPUR 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Beliau mengikut jejak Allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein, yang menerajui negara dari tahun 1970 sehingga 1976 sebelum meninggal dunia akibat leukemia.

Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Pasangan itu kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Acara penuh istiadat itu bermula apabila Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berangkat memasuki Balairong Seri pada pukul 10.05 pagi.

Upacara dimulakan dengan lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Najib sebagai Perdana Menteri dimulakan pada 10.10 pagi.

Najib kemudian membaca ikrar mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia sebelum menandatangani keempat-empat Suratcara Pelantikan, diikuti dengan bacaan doa selamat.

Keempat-empat Suratcara Pelantikan itu kemudiannya ditandatangani oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebagai saksi yang kemudiannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Pada majlis yang sama, Abdullah dikurniakan anugerah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) manakala Jeanne menerima anugerah Seri Setia Mahkota (SSM), kedua-duanya membawa gelaran Tun, daripada Seri Paduka.

Najib dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang, pada 23 Julai 1953 dan merupakan anak sulung kepada Tun Abdul Razak dan Tun Rahah Mohd. Noah.

Pelantikan Najib hari ini cukup signifikan kepada sejarah negara kerana ini merupakan kali pertama anak kepada perdana menteri dilantik ke jawatan yang sama.

Karisma kepimpinannya dalam politik mula terserlah apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan pada 1976 sebelum mencatat sejarah pada tahun yang sama sebagai anggota Parlimen termuda, pada usia 22 tahun, dengan memenangi tanpa bertanding kerusi Pekan dalam satu pilihan raya kecil apabila ayahanda meninggal dunia.

Bermula dari situ, Najib secara beransur meniti kejayaan dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan sehingga menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri. - BERNAMA

ARTIKEL TERKINI